DERITA...badan, muka dan tangan Ali berbalut akibat terkena percikan
kimia.
JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera di muka,
dada, tangan dan leher akibat terkena percikan sejenis bahan kimia yang
ada dalam satu tin logam ditendang kakaknya ketika dua beradik itu
melalui sebuah kilang dipercayai beroperasi secara haram di Jalan
Meranti 7, Taman Rinting, Masai, di sini.
Dalam kejadian jam 8.30 malam pada 3 Januari lalu, Mohd Ali Baser,
anak keempat daripada lima beradik dalam perjalanan ke kedai di kawasan
berhampiran bersama kakak sulungnya, Aida, 11 dan kilang itu terletak
kurang 100 meter dari rumah mereka.
Wakil masyarakat Sabah
di Johor, Alex Puspah yang dimaklumkan kejadian itu oleh keluarga dan
jiran mangsa yang menyaksikan insiden berkenaan berkata, akibat percikan
cecair berkenaan, muka, dada, tangan dan leher Ali menjadi
kehitam-hitaman seolah-olah terbakar.
Menurutnya, ibu Ali, Salbiah Mayong, 32, yang sedang melayan anak
bongsu berusia enam bulan terkejut apabila Ali berlari masuk ke rumah
sambil menjerit kesakitan.
“Melihat Ali sedemikian rupa,
abang mangsa, Ishak yang berusia sembilan tahun segera menyimbah adiknya
menggunakan air paip di luar rumah menyebabkan wajah Ali bertukar
kemerah-merahan,” katanya,” semalam.
Menurut Alex, saksi
kejadian memaklumkan mengenai kejadian itu. Katanya, ketika itu Ali
tidak berhenti menangis menyebabkan keluarganya panik manakala bapa
kanak-kanak itu, Baser Maid, 33, pergi ke kilang berkenaan untuk
menyiasat.
Saya dimaklumkan, ketika kejadian Aida menendang satu
tin dan percikan cecair dalam tin yang diletak di depan kilang itu
mengenai Ali. Penduduk pergi ke kilang terbabit dan mereka mengatakan ia
bukan petrol seperti sangkaan awal.
“Pekerja warga asing
di kilang itu berkata, cecair itu adalah minyak hidrolik,” katanya.
Menurut Alex, keluarga Ali membawanya ke Klinik Penawar Masai
sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Ali
ditahan di wad HSA selama seminggu sebelum dibenarkan pulang Isnin lalu
dan kecederaan dialaminya menyebabkan Ali tidak boleh bercakap selama
tiga hari. “Doktor membenarkan Ali pulang namun dia perlu ke HSA
setiap hari untuk mencuci kecederaannya. Setahu saya, sejak kejadian
sehingga hari ketiga, pemilik kilang dipercayai berusia lingkungan 40-an
baru sekali bertemu keluarga mangsa,” katanya.Menurut Alex, selepas
kejadian kecoh diperkatakan, barulah pengurusan kilang terbabit datang
dan berjanji menanggung semua perbelanjaan, sedangkan sebelum ini mereka
tidak pernah pun melawat Ali di HSA, seolah-olah mahu lepas tangan.
Alex turut mempertikaikan bagaimana premis itu boleh beroperasi
menggunakan bahan kimia berbahaya sedangkan kedudukannya berhampiran
kediaman.
“Kilang terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak
tiga tahun lalu dan jika tiada tindakan tegas dikenakan, saya khuatir
kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.