Monday, 29 August 2011

Umat Islam sambut Aidilfitri esok

 
KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan malam ini.

Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Selasa, 30 Ogos 2011," katanya.
Tarikh Hari Raya Aidilfitri ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan rukyah dan hisab menerusi 30 tempat pencerapan di seluruh negara.

Sunday, 28 August 2011

Stesen Keretapi dikawal rapi


JAKARTA: Puluhan polis bersenjata mengawal stesen kereta api Gambir di pusat bandar raya ini selepas sekumpulan penyerang termasuk seorang anggota tentera cuba merampas kereta api yang menuju ke Jawa Timur, semalam.
“Kami berada di sini bagi memastikan keselamatan setiap orang,” kata anggota polis, Wawan, semalam kepada akhbar Internet, tribunnews.com. Penumpang, Cheril yang menunggu untuk menaiki kereta api berkata, kehadiran anggota polis adalah satu kelegaan kerana dia tahu ke mana hendak lari jika sesuatu kejadian tidak diingini berlaku. - Agensi
kredit : hmetro.com.my

Planet berbentuk berlian dijumpai



Planet berlian seperti yang digambarkan oleh penyelidik Pusat Astrofizik Institut Harvard Smithsonian di Amerika Syarikat (AS).
MANCHESTER, Britain – Ia mungkin planet idaman wanita. Sekumpulan ahli astronomi percaya mereka telah menemui sebuah planet yang terbentuk sepenuhnya daripada berlian.
Saintis-saintis antarabangsa di Universiti Manchester di sini menyatakan, mereka menemui planet berlian itu selepas mengesan sebutir bintang mega di galaksi Bima Sakti yang telah hancur dinamakan pulsar. Teras bintang itu, kata mereka, bertukar menjadi kristal berlian sebesar sebuah planet.
Para penyelidik berkenaan membuat penemuan itu dengan menggunakan sebuah teleskop gergasi di sebuah balai cerap di Cheshire, England. Planet berlian itu memiliki diameter 64,000 kilometer atau lima kali ganda lebih besar daripada Bumi. – Agensi

Share Bangunan unik yang tergantung

Rekaan yang mirip stesen angkasa lepas ini memiliki 80 unit rumah kediaman.
CALCUTTA, India – Sebuah struktur menyerupai stesen angkasa lepas lengkap dengan taman di atas bumbungnya merupakan antara lebih 12 rekaan unik yang tersenarai dalam pertandingan Festival Arkitek Dunia di bandar raya Barcelona, Sepanyol pada tahun depan. Sekali pandang, struktur futuristik itu kelihatan tergantung di udara pada ketinggian 100 meter dari tanah.
Diberi nama Atmosphere, ia sebenarnya menyambungkan dua bangunan pencakar langit. Reka bentuk struktur berkenaan yang kelihatan lebih hebat daripada bangunan Taj Mahal dihasilkan beberapa arkitek di sini. Idea untuk menghasilkan binaan tersebut diinspirasikan daripada kehidupan tradisional masyarakat Hindu.
Atmosphere memiliki 80 unit rumah yang sesuai diduduki oleh pasangan berkeluarga. Antara penyertaan lain yang turut menarik perhatian sempena pertandingan berprestij itu termasuk bangunan reben coklat dan bangunan kulit kerang. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Singapure ada presiden baru( 29 August 2011)

Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tony Tan berucap pada satu sidang media selepas kemenangannya dalam pilihan raya presiden kelmarin.
SINGAPURA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan dipilih sebagai Presiden Singapura yang ketujuh selepas beliau menang tipis dalam pilihan raya presiden kali ini.
Tan dikaitkan dengan parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) kerana beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara yang pernah dipegangnya seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Ketua Jabatan Pilihan Raya, Yam Ah Mee semasa mengumumkan keputusan pilihan raya itu lewat kelmarin memberitahu, Tan, 71, menerima 35 peratus daripada kira-kira 2.1 juta undi keseluruhan. Ini sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Tan Cheng Bock yang merupakan bekas ahli Parlimen dengan kelebihan cuma 7,269 undi.
Menurut pegawai pilihan raya berkenaan, seorang lagi calon, Tan Jee Say memperoleh 25 peratus undi. Calon keempat dan terakhir, Tan Kin Lian pula sekadar memperoleh lima peratus undi.
Pengumuman keputusan pilihan raya itu terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam kelmarin apabila pegawai-pegawai pilihan raya diminta mengira semula kertas undi berikutan persaingan yang begitu sengit antara Tan dan Cheng Bock.
Pilihan raya tersebut dilihat oleh ramai penganalisis politik sebagai isyarat bahawa pengaruh PAP semakin pudar dalam kalangan rakyat. Tan hanya memperoleh 35 peratus undi dalam pilihan raya berkenaan, jauh merosot berbanding 60 peratus undi yang diperoleh PAP pada pilihan raya umum Mei lalu.
Pilihan raya umum tersebut turut mempamerkan prestasi terburuk PAP sejak 52 tahun memerintah Singapura.
Seorang pakar ekonomi yang berpangkalan di Singapura, Song Seng Wun berkata, keputusan pilihan raya kali ini yang diadakan untuk memilih ketua negara Singapura itu terus menunjukkan dominasi kuasa yang dimiliki PAP selama ini semakin terhakis.
“PAP tidak sekuat seperti empat dekad lalu,” kata Seng Wun.

“Hanya seorang daripada tiga pengundi memilih Tan yang dikait rapat dengan PAP. Dua daripada tiga pengundi memilih calon lain. Ini adalah isyarat yang jelas,” tambahnya. Seorang pembaca pula menulis dalam sebuah forum Internet bahawa Tan “sepatutnya malu kerana cuma mendapat 35 peratus undi”.
Malah, beberapa penganalisis politik turut menyatakan bahawa Tan akan tewas sekiranya pilihan raya presiden kali ini menampilkan pertandingan satu lawan satu. Selepas kemenangannya, Tan segera merayu kepada pengundi yang tidak memilihnya.
“Presiden Singapura adalah Presiden kepada semua rakyat Singapura, bukan hanya untuk mereka yang memilih saya atau untuk mereka yang tidak memilih saya,” kata pemimpin veteran itu selepas kemenangannya diumumkan.
“Saya akan bekerja sedaya upaya demi kebaikan rakyat Singapura tanpa mengambil kira fahaman politik mereka,” tambahnya. Beliau dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang ketujuh pada 1 September depan.
Presiden Singapura yang dipilih setiap enam tahun memiliki kuasa veto untuk menolak pelantikan penting dalam pentadbiran negara di samping menjaga simpanan luar Singapura yang kini berjumlah sekitar AS$250 bilion (RM746.2 bilion).
– Agensi

New Jersey dibadai taufan

Imej satelit menunjukkan Taufan Irene selepas ia membadai pesisir pantai Amerika Syarikat di sebelah Lautan Atlantik kelmarin.
TOMS RIVER, Amerika Syarikat (AS) – Lebih sejuta orang melarikan diri dari bandar-bandar peranginan di sepanjang pantai New Jersey beberapa jam sebelum Taufan Irene melanda negeri berkenaan kelmarin.
Orang ramai yang tinggal di pesisir pantai dan pulau termasuk lokasi terkenal seperti Atlantic City, Cap May serta Pulau Long Beach diwajibkan berpindah. Taufan Irene dijangka melanda negeri itu dengan kelajuan angin mencapai 120 kilometer (km) sejam.
Taufan berkenaan turut membawa hujan 15 sentimeter (sm) hingga 30 sm sejak malam kelmarin. Sebelum ini, sebanyak empat kematian dilaporkan berlaku di negeri Carolina Utara dan Virginia yang turut dilanda taufan tersebut.
“Lebih sejuta orang telah meninggalkan kawasan pantai di New Jersey dalam tempoh 24 jam yang lalu. “Cara terbaik untuk mengelakkan kemalangan jiwa adalah tiada siapa yang boleh tinggal di kediaman mereka,” kata Gabenor Chris Christie dalam satu sidang media.
Sebelum itu, bandar raya New York lumpuh dibadai Taufan Irene dengan bekalan elektrik kepada 2 juta kediaman dan premis perniagaan terputus. Setakat ini, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh akibat bencana alam itu di AS. - Agensi

Raya yang disambut orang MUDA-MUDI





KENANGAN berhari raya sewaktu zaman kanak-kanak pasti masih segar di ingatan bagi kebanyakan individu. Tentunya saat itu merupakan hari paling gembira apabila berpeluang mengutip duit raya dari satu rumah ke satu rumah.
Perasaan malu langsung tidak wujud dalam kotak fikiran mereka, malah bila sudah terlalu kenyang, mereka sekadar datang untuk mendapatkan habuan duit raya tanpa menyentuh aneka juadah yang terhidang di depan mata.
Itulah makna hari raya bagi kanak-kanak yang sukar dinafikan iaitu Aidilfitri sebagai medan mengumpul wang paling banyak. Namun, apabila semakin menginjak remaja, definisi hari raya juga berubah seiring pertambahan usia mereka. Tabiat berhari raya dari rumah ke rumah, semakin ditinggalkan lantaran malu jika diajuk mahu mengutip duit raya.
Sebaliknya, golongan ini lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga di rumah sambil menonton pelbagai siaran menarik sempena musim perayaan.
Tidak ketinggalan, mereka juga akan meluangkan masa keluar ke pusat beli-belah bersama teman-teman sambil menonton wayang dan sebagainya.


AIDILFITRI menjadi masa yang paling sesuai untuk orang muda mengeratkan silaturrahim dengan saudara dan rakan-rakan.

Bagi Siti Nur Liyana Yunus, 22, selepas menumpukan perhatian pada kerja yang tidak akan pernah habis, Aidilfitri merupakan medan terbaik berkumpul bersama kaum keluarga.
Ini waktu terbaik untuk kita mengenali sanak-saudara dengan saling mengunjungi antara satu sama lain. Secara peribadi saya berpendapat bahawa ia satu tradisi yang perlu diteruskan untuk mengeratkan silaturahim.
Malah, generasi baru seperti kami harus menggunakan kesempatan yang ada untuk berbuat demikian, katanya sambil menambah satu kerugian besar buat mereka yang hanya tahu melepak di rumah tanpa berhasrat melawat sanak-saudara pada perayaan Aidilfitri.
Pendapat Nur Liyana disokong temannya, Siti Mariam Haslan, 27, yang bagaimanapun meraikan hari lebaran dengan cara berbeza.
Menjelang Aidilfitri, Mariam memberitahu, dia pasti akan mengambil cuti semaksimum yang mungkin untuk membawa keluarganya bercuti.
Biasanya saya akan bercuti selama dua minggu dan kemudian kami akan ronda satu Malaysia untuk melawat saudara atau pun bersantai ke kawasan peranginan terkenal, ujar anak kedua daripada empat adik-beradik ini.


JIKA bagi kanak-kanak hari raya bermakna masa untuk mengumpul wang, namun definisi itu semakin berubah apabila seseorang dewasa.Masa melawat saudara

Menyentuh tentang persiapan raya pula, Mariam gemar menyediakannya lebih awal seperti membuat kuih-muih, menukar duit raya dan membeli pakaian untuk keluarga.
Katanya, apabila dewasa keperluan adik-adik lebih diutamakan berbanding diri sendiri. Ini membuatkan dia suka membeli baju raya untuk dirinya pada saat-saat akhir.
Yang penting biar adik-adik seronok. Tentunya saya akan rasa puas jika melihat kegembiraan mereka apabila segala keperluan raya telah disediakan, tuturnya sambil tersenyum.
Seorang lagi remaja, Rabiatul Najiha Omar, 15, ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor baru-baru ini mengakui hari raya merupakan hari untuknya bersuka ria.
Maklumlah selepas sebulan menahan lapar dan dahaga kerana menunaikan ibadah puasa, maka Aidilfitri perlu dirayakan sepenuhnya.
Berkongsi pengalaman, Rabiatul atau lebih mesra disapa Ruby seronok apabila menyambut raya pada usia remaja. Jelasnya, sewaktu kecil semua persiapan seperti baju dan kasut raya akan dibeli oleh kedua ibu bapa mengikut cita rasa mereka.
Tapi kini, saya sudah boleh memilih pakaian yang digemari tanpa terikat dengan keputusan ibu bapa. Cuma, duit mestilah daripada mereka kerana saya belum bekerja.
Walaupun mengikut cita rasa sendiri, namun saya tidaklah sampai memilih barangan yang mahal. Memadai jika ia menarik dipandang, luahnya yang kelihatan anggun berkebaya putih sambil asyik memilih pakaian untuk berhari raya di sebuah butik.
RABIATUL NAJIHA membeli-belah kelengkapan hari raya bersama rakannya di sebuah butik di Kluang, Johor baru-baru ini.


Masih terima duit raya
Ditemani seorang rakan yang turut mencari persalinan untuk lebaran, Ruby tidak segan mengakui bahawa dirinya masih mendapat duit raya daripada ibu bapa dan sanak saudara yang mengunjungi mereka.
Biasanya masa kecil dapat duit raya dalam RM1 atau RM2 sahaja. Tetapi, bila dah sekolah menengah bertambah jugalah nilainya, lancar ucapan yang keluar dari bibir mungil Ruby.
Sementara itu, Noor Atikah Ismail, 15, berpendapat hari raya boleh dianggap hari kebebasan untuk semua terutama selepas sebulan menahan diri daripada lapar dan dahaga kerana menunaikan kewajipan berpuasa.
Tambahnya, agenda utama sebagai remaja sudah tentu untuk keluar bersama teman-teman dan melepaskan tekanan menghadap buku.
Menonton wayang, keluar makan dan pergi beraya di rumah kawan antara perkara wajib yang akan dilakukan setiap kali tibanya Aidilfitri.
Namun, itu semua hanya akan dibuat selepas meraikan hari raya bersama keluarga tercinta pada 1 Syawal, beritahu Atikah yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik yang semuanya perempuan.
Ditanya juadah kegemaran pada pagi raya, Atikah pantas menjawab: Sudah tentu ayam masak sambal air tangan ibu tercinta selain rendang dan ketupat.
Apa pun makna Aidilfitri yang lahir daripada pemahaman remaja ini, hakikatnya dalam Islam, ia merupakan hari kemenangan yang dinantikan oleh semua umatnya selepas berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan pada bulan Ramadan.
Di Malaysia, apabila tibanya Aidilfitri terdapat beberapa amalan atau tradisi yang lazim dilakukan sempena meraikan hari bahagia itu.
Contohnya seperti tradisi balik kampung, menziarahi pusara ahli keluarga yang telah meninggal dunia, mengunjungi sanak-saudara dan bermaaf-maafan antara satu sama lain, mengadakan rumah terbuka serta amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak.
Namun, hakikatnya di sebalik perayaan Aidilfitri, ia mengandungi makna yang jauh lebih mendalam berbanding daripada apa yang kita lihat dari sudut zahir yang perlu direnungi bersama.
kredit : kosmo.com.my