Sunday, 11 September 2011

Ira disihir guna gambar dalam FB



IRA (tengah) ditemu bual oleh wartawan Kosmo!, Suhana Md. Yusop sambil diperhatikan oleh Shamsuri Shafie di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.




NILAI - Disihir menggunakan gambar yang terdapat dalam laman sosial Facebook (FB).
Itu yang didakwa berlaku kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi, dikenali sebagai Ira apabila gambar dari laman sosialnya dijadikan sebagai senjata pemujaan sihir.
Ira, 22, mendakwa, dia telah disihir oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Maria kerana cemburu akan hubungan bersama teman lelakinya serta mahu memutuskan hubungan mereka.
"Maria adalah bekas teman wanita kekasih saya tetapi hubungan mereka telah lama putus. Sebab itu dia menyihir saya kerana ingin melihat hubungan kami hancur.
"Kami tidak mengenali antara satu sama lain.
"Dia hadir menghulurkan tangan sebagai rakan dan saya sambut kerana ingat dia jujur namun sebaliknya," dakwanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Ira lagi, dia mengetahui disihir oleh Maria melalui sekeping gambar setelah menerima rawatan daripada penaung Pusat Rawatan Islam At Tobibi di Bandar Baru Nilai, Shamsuri Safie pada Jun lalu.
Menurutnya, semasa rawatan, dia mendapati gambar mata Maria seolah-olah bersinar setiap kali dia merenungnya.
Ketika itu, dia merasakan Maria terlalu baik dan dia menurut segala kemahuannya termasuk berhenti kerja.
"Bagaimanapun setelah berubat, baru saya tahu bahawa saya bukan sahaja terkena sihir tetapi disantau oleh Maria,'' ceritanya.
Menurutnya, Shamsuri memberitahunya bahawa Maria telah meletakkan abu mayat di dalam makanannya.

Saturday, 10 September 2011


Ajaran Hassan Jonit kembali aktif

BUKU yang digunakan oleh pengikut Hassan Jonit.


RAWANG - Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit yang didapati menyimpang daripada ajaran Islam oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Fatwa Negeri Selangor pada tahun 1998 kini dikesan kembali aktif.
Ajaran itu kini dipercayai dikembangkan oleh ahli keluarga salah seorang pengikut kanan Hassan yang meninggal dunia beberapa tahun lalu.
Menurut sumber yang cuma ingin dikenali sebagai Roslan, markas utama kumpulan tersebut yang terletak di Kampung Melayu, Batu Arang di sini, kembali dipenuhi oleh pengikut ajaran itu sejak kebelakangan ini.
"Saya dapati semakin ramai orang luar datang ke markas itu pada malam tertentu. Saya percaya kumpulan tersebut tidak mahu pihak berkuasa tahu tentang aktiviti mereka," katanya ketika ditemuiKosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurutnya yang juga penduduk di kampung tersebut, kewujudan semula ajaran tersebut kini diketuai oleh seorang lelaki yang merupakan menantu kepada orang kanan Hassan.
"Pengikut ajaran itu terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk profesional yang datang dari seluruh negara terutama Singapura, Johor dan Melaka semakin berkurangan.
"Saya sendiri sebenarnya pernah bersemuka dengan pengikut kanan Hassan suatu ketika dahulu selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung yang dia telah mendapat wahyu ketika duduk di kedai kopi," ujarnya.

200 maut terjun dari Menara WTC


SEORANG lelaki terjun dari bangunan WTC yang runtuh akibat serangan pengganas sedekad lalu.



NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Seramai 200 orang dilaporkan terjun dari Menara Berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini ketika pengganas menyerang beberapa lokasi utama di AS pada 11 September 2001, lapor sebuah akhbar semalam.
Berdasarkan rekod tidak rasmi, hampir semuanya menemui ajal secara bersendirian tetapi beberapa saksi mengakui mereka pernah menyaksikan satu pasangan terjun sambil berpegangan tangan.
Malah kata saksi, ketika berada di hujung nyawa seorang wanita turut dilihat memegang kuat skirtnya supaya dia tidak mati dalam keadaan yang memalukan.
Sebahagian lagi mangsa cuba membuat payung terjun daripada langsir dan alas meja tetapi daya graviti menyebabkan ia terlucut daripada pegangan sekali gus menyebabkan nyawa mereka melayang.
"Mangsa-mangsa itu memilih untuk terjun daripada mati terbakar dan saya dapat melihat mereka jatuh seorang demi seorang," kata seorang anggota bomba yang bertugas pada hari kejadian, Maureen McArdle-Schulman.
"Kerana terlalu ngeri, saya dan seorang rakan setugas mengalihkan pandangan kami pada dinding bangunan berdekatan, namun kami masih dapat mendengar bunyi tubuh mereka terhempas di tanah," tambahnya.
Menurutya, dia turut berang dengan tindakan sebahagian individu tidak berhati perut di lokasi kejadian yang merakam mangsa- mangsa itu terjun.
Hampir semua mangsa terjun dari tingkat-tingkat teratas WTC. Mereka jatuh pada kelajuan 200 kilometer sejam dan memiliki 10 saat untuk mengimbas kembali hidup mereka sebelum menemui ajal di tanah.
WTC yang setinggi 417 meter dan memiliki 110 tingkat, terdiri daripada Menara Utara dan Menara Selatan dibuka kepada orang ramai pada 1973. Pembinaannya ketika itu menelan belanja AS$400 juta (RM1.2 bilion).
Pada 11 September 2011, kumpulan pengganas merempuh dua pesawat Boeing 757 ke atas WTC yang menyebabkan ia terbakar dan runtuh. Kejadian itu meragut 2,753 nyawa.
Sebelum ini, berita dan gambar-gambar mereka tidak disiarkan media AS.
Pemerintah AS beranggapan bahawa mereka yang memilih untuk membunuh diri daripada mati terbunuh sebagai tidak patriotik sekali gus mencalar imej negara.
Sementara itu, kawalan keselamatan di sini dan beberapa lokasi utama lain di AS diperketatkan menjelang sambutan ulang tahun ke-10 insiden serangan pengganas ke atas AS hari ini. - Agensi

Friday, 9 September 2011

Saya tidak jual anugerah - Datuk Undang Naning


ABDUL LATIF memegang buku perlembagaan Tambo Alam Naning di Balai Rasmi Datuk Undang Wilayah Naning, Melaka semalam.



ALOR GAJAH - "Saya tidak pernah jual sebarang anugerah termasuk anugerah Datuk."
Demikian tegas Datuk Undang Wilayah Naning ke-19, Datuk Abdul Latif Hashim mengenai isu penjualan anugerah darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk oleh Datuk Undang Wilayah Naning.
Menurutnya, dia sebagai Datuk Undang Wilayah Naning yang sah tidak pernah menjual anugerah darjah kebesaran atau melantik wakil untuk menjual anugerah berkenaan.
"Kami juga tidak merancang mengadakan majlis penganugerahan darjah kebesaran pada 20 Oktober ini kerana majlis seperti itu telah diadakan Mei lalu dan hanya akan diadakan sekali lagi pada Mei tahun depan.
"Oleh itu, jangan percaya jika ada yang mengatakan dia mewakili Datuk Undang Naning dan meminta bayaran bagi pengurniaan anugerah," katanya ketika ditemui di Balai Rasmi Undang Naning di sini semalam.
Kosmo! Selasa lalu melaporkan kebimbangan seorang ahli perniagaan yang hanya mahu dikenali sebagai Amin, 50-an, yang khuatir ditipu apabila diminta membayar sejumlah wang RM50,000 oleh seorang individu bagi tujuan pengurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk oleh Datuk Undang Wilayah Naning, Melaka.
Amin telah membayar RM5,000 sebagai wang pendahuluan dan suspek memberi jaminan gelaran itu akan disampaikan jika baki wang berkenaan dijelaskan secara berperingkat-peringkat menjelang istiadat di Alor Gajah pada 20 Oktober depan.

Berlian Golden Eye dilelong RM8.42 juta


BERLIAN Goledn Eye yang dilelong pada harga RM8.4 juta di Cleveland kelmarin.



CLEVELAND - Satu berlian berwarna kuning yang dikenali sebagai Golden Eye dilelong pada harga AS$2.8 juta (RM8.42 juta).
Pemenang bidaan berlian itu tidak didedahkan kerana Perkhidmatan Marshal Amerika Syarikat (AS) akan memeriksa latar belkang pembeli baharunya terlebih dahulu.
Berlian itu dilelong kelmarin dengan 16 orang menyertai bidaan untuk memilikinya.
Ia merupakan milik seorang ahli perniagaan di Ohio, AS yang disabitkan dengan kesalahan penggubahan wang haram dan konspirasi.
Menurut pendakwa raya, ahli perniagaan itu cuba untuk menjual berlian itu dan sebuah hartanah yang pernah menjadi milik bekas petinju terkenal, Mike Tyson kepada seorang ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang sedang menyamar pada harga AS$19.5 juta (RM58.64 juta) selain sebuah bot.
Berlian itu kemudian dirampas oleh kerajaan.

AISHITERU ( Menunggu )-by ZIVILIA BAND



boleh tahan jugak lah lagu ni.....