Tuesday 30 August 2011

Meraikan hari kemenangan





MENGIKUT sejarah, negara Malaysia yang dahulunya lebih dikenali sebagai Tanah Melayu pernah dikuasai oleh beberapa kuasa asing sejak tahun 1511. Bermula dengan Portugis kemudian diikuti dengan Belanda dan British serta tidak ketinggalan Jepun yang pernah memerintah selama lebih tiga tahun.
Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh yang begitu keramat kepada masyarakat di negara ini apabila ia bebas sepenuhnya daripada dijajah oleh Inggeris yang sudah menduduki Tanah Melayu sejak ratusan tahun yang lalu.
Sejak 31 Ogos 1957, setiap tahun negara meraikan hari kemerdekaan dengan menganjurkan aktiviti menarik iaitu acara perbarisan yang turut dihadiri oleh rakyat daripada segenap lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, setelah 54 tahun rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan negara, ternyata tahun ini sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila sambutan dirayakan secara serentak dengan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam keghairahan umat Islam di Malaysia sedang membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran, agak sedikit mendukacitakan apabila dilihat seolah-olah tidak ramai yang menyedari tentang Hari Kemerdekaan negara.
Berbanding pada tahun-tahun sebelum ini, apa yang paling ketara ialah masih ramai yang tidak memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing meskipun tanggal 31 Ogos tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Salah seorang pelakon popular, Remy Ishak yang ditemui sewaktu menjalani penggambaran filem Azazil menyifatkan tahun ini sangat istimewa dan pastinya sukar untuk dilupakan.
Menurut Remy, berbanding dengan negara-negara lain, sudah tentu Malaysia sahaja satu-satunya negara yang pada tahun ini meraikan serentak sambutan dua perayaan yang cukup besar dan bermakna.
“Mungkin ini adalah kali pertama tarikh sambutan Aidilfitri jatuh serentak dengan hari merdeka. Namun, saya merasakan kedua-duanya adalah hari yang sangat bermakna dan membawa pengertian yang sama.
“Kalau Hari Kemerdekaan negara disambut untuk kita meraikan kemenangan setelah bebas daripada tangan penjajah Inggeris, Aidilfitri pula disambut untuk meraikan kemenangan setelah sebulan menjalani ibadah puasa,” jelasnya.
Ditanya mengenai segelintir masyarakat yang dilihat seperti melupakan Hari Kemerdekaan negara, pelakon berkenaan berpandangan bahawa dia yakin rakyat Malaysia pastinya tidak akan melupakan hari bersejarah tersebut.

DARI kiri: Remy Ishak, Diana Danialle dan Sharnaaz pertama kali berganding sama dalam filem berjudul Azazil.



“Rasanya biarlah umat Islam di Malaysia sambut hari lebaran terlebih dahulu. Lagipun apa yang saya tahu, sambutan Hari Kemerdekaan akan tetap diadakan pada 16 September ini serentak dengan sambutan Hari Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, aktres Diana Danielle menyatakan erti kemerdekaan akan lebih dirasai apabila mengenang kembali jasa tokoh-tokoh terbilang negara yang telah berjuang untuk membebaskan tanah air daripada tangan penjajah.
Menurut pelakon yang turut membintangi filem yang diarahkan oleh Khabir Bhatia itu lagi, semasa zaman persekolahan dahulu dia memang jarang ketinggalan untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.
“Ketika bersekolah dahulu saya memang kerap menyertai pelbagai aktiviti sempena sambutan kemerdekaan di sekolah. Saya juga pernah menyertai acara perbarisan yang diadakan di Dataran Merdeka dan ia adalah satu pengalaman yang cukup menarik.
“Malah, setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan saya turut tidak ketinggalan untuk memasang bendera di kereta. Kalau ada masa terluang, saya dan rakan-rakan akan menunggu detik 12 tengah malam bersama-sama ribuan rakyat Malaysia yang lain,” ujarnya.
Seorang lagi pelakon yang sedang meningkat naik, Sharnaaz Ahmad pula meluahkan rasa syukurnya kerana dapat menikmati kehidupan yang selesa dalam sebuah negara yang aman dan damai.
Menurutnya, sebagai sebuah masyarakat majmuk, penduduk di negara ini sepatutnya rasa beruntung kerana dapat hidup harmoni bersama-sama dengan pelbagai kaum yang lain tanpa ada sebarang persengketaan.
“Kalau lihat di beberapa buah negara yang lain, meskipun sudah mencapai kemerdekaan tetapi ada antara negara berkenaan masih lagi melalui kancah peperangan serta dalam keadaan huru hara.
“Jadi, kita seharusnya terus mengekalkan keamanan yang dinikmati ini memandangkan negara kita juga sekarang sudah 54 tahun merdeka dan bebas daripada penjajah,” ujarnya yang memegang watak Atan dalam filem Azazil.
Terpaksa bekerja
Menyentuh tentang sambutan Aidilfitri yang baru diraikan semalam, sudah tentu kurang lengkap rasanya kalau tidak ditanya tentang persiapan tiga pelakon muda ini dalam menyambut Aidilfitri kali ini.
Menurut Remy, dia hanya sempat membuat persiapan dua hari sebelum Aidilfitri memandangkan jadualnya yang cukup padat sepanjang bulan puasa ini terutamanya sibuk menjalani penggambaran filem Azazil.
“Boleh dikatakan sepanjang bulan puasa ini saya terpaksa bekerja dari pagi sehingga tengah malam. Namun, saya berasa lega kerana penggambaran filem ini hampir selesai dan rasanya sempat juga untuk saya membuat persiapan raya.
“Insya-Allah, selepas segala-galanya telah selesai saya akan pulang ke kampung di Masjid Tanah, Melaka untuk menyambut hari lebaran bersama-sama keluarga dan bercuti selama seminggu,” jelasnya.
Menurutnya lagi, untuk raya pada tahun ini dia tidak dapat bercuti lama kerana dalam masa terdekat dia akan turut terbabit dengan beberapa penggambaran.
“Selepas ini saya akan menjalani penggambaran filem berjudul 29 Februari yang diarahkan oleh Edry KRU. Memang jadual saya sangat padat sehingga hujung tahun ini dan saya akan berehat seketika pada awal tahun hadapan,” ujarnya.
Rumah Farid Kamil
Memandangkan sekarang ini masanya lebih banyak dihabiskan di lokasi penggambaran, Diana memberitahu segala persiapan raya telah diserahkan kepada ibunya.



Menurutnya, setakat ini ibunya sudah banyak membeli pelbagai jenis kuih raya memandangkan mereka sekeluarga tidak pulang ke kampung dan akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja.
“Kami sekeluarga memang tidak pernah berbelanja besar dan sekadar sambut raya secara ala kadar sahaja. Lagipun yang paling penting buat saya adalah dapat berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga.
“Malah, saya sendiri sekadar menyediakan sepasang baru kurung untuk dipakai pada pagi raya. Namun, saya juga memiliki dua pasang baju jenis kaftan yang dihadiahkan oleh seorang rakan yang baru pulang daripada mengerjakan umrah baru-baru ini,” ujarnya.
Tambah Diana, jika mempunyai masa terluang, dia tidak akan melepaskan peluang untuk pergi beraya ke rumah Farid Kamil memandangkan kekasih hatinya itu akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya nanti.
Serentak
Boleh dikatakan tahun ini sememangnya cukup bertuah buat Sharnaaz Ahmad lantaran tawaran berlakon yang diterima semakin mencurah-curah dan lakonannya yang semakin diterima ramai.
Sama seperti Remy yang mempunyai jadual yang padat, pelakon yang mula dikenali menerusi telefilem Ungunya Cinta itu tidak dapat bercuti panjang untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama keluarga.
“Selepas selesai menjalani penggambaran filem Azazil ini, saya akan terus pulang ke kampung di Georgetown, Pulau Pinang. Saya cuma akan berada di kampung selama empat hari dan kembali ke Kuala Lumpur.
“Lagipun selepas cuti berhari raya nanti saya perlu buat persediaan untuk menjadi pelakon dalam video klip lagu Patah Seribu nyanyian Shila Amzah. Kemudian saya akan terbabit pula dalam sebuah drama arahan Osman Ali sebanyak 26 episod,” jelasnya.
Menariknya lagi, pelakon berkenaan tetap meluahkan rasa terujanya untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini memandangkan tarikh 1 Syawal adalah serentak dengan tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-26.

REMY ISHAK bercuti selama seminggu sementara Diana Danielle berhari raya di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment