Wednesday 31 August 2011

Radhi kembali kepada fitrah

RADHI...beraya di Rumah Pengasih.

RADHI...beraya di Rumah Pengasih.
KUALA LUMPUR: “Lebaran kali ini terlalu jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun-tahun lalu. Ia bakal menjadi lebaran paling sempurna buat saya selepas sekian lama saya mengambil barang itu (dadah),” kata Muhammad Radhi Razali atau lebih dikenali sebagai Radhi, 34, vokalis kumpulan OAG ketika ditemui di Rumah Pengasih di sini, semalam.
Radhi yang memasuki pusat itu sejak 11 Januari lalu kini sedang menjalani proses pemulihan bagi membuang ketagihannya terhadap dadah yang diambil selama kira-kira 10 tahun selain mahu mendalami ilmu agama.

Menurut Radhi, hari raya Aidilfitri tahun ini bakal memberi seribu makna kepadanya kerana dia kini lebih menghayati erti Ramadan selepas berjaya melengkapkan ibadah puasa serta solat sunat Tarawih berbanding sebelum ini dan tumpuannya hanya kepada menyambut perayaan Aidilfitri.

Radhi bagaimanapun tidak menafikan masih wujud kesukaran untuknya meninggalkan najis itu secara 100 peratus pada peringkat awal namun keberkatan solat fardu yang ditunaikan mampu menghindari dirinya daripada terjebak semula.

“Selepas bertahun-tahun, saya kini benar-benar menemui jalan yang sepatutnya saya pilih dari dulu lagi dan di sinilah tempatnya. Memang dulu saya pernah cuba berubah, tapi gagal kerana saya tidak begitu kuat apatah lagi tiada sokongan jemaah (masyarakat) seperti sekarang.

“Saya bercadang meraikan hari raya pertama di sini (Rumah Pengasih) bersama penghuni lain. Ibu dan anak saya mungkin akan,” katanya.


Mengimbau kenangan lampau ketika masih dipengaruhi dadah suatu ketika dulu, Radhi berkata, najis itu sebenarnya banyak mencetuskan perkara negatif dalam hidupnya termasuk pergolakan rumah tangga yang dibina selama lebih lima tahun.

Malah, menurut Radhi, setiap kali menjelang raya, hanya jasadnya yang berada bersama keluarga namun pemikirannya lebih ke arah khayalan disebabkan pengaruh dadah.

“Saya memang selalu memikirkan apa akan berlaku pada saya jika saya ditangkap kerana dadah. Ia memang sering terlintas di fikiran saya namun saya masih tidak mampu berhenti kerana terlalu mengikutkan nafsu dan pengaruh kawan yang turut sama menagih.

“Disebabkan itu, sekarang saya tak nak lagi ada kereta atau rumah yang pernah memberi kemudahan kepada saya untuk memperoleh dan menghisap dadah. Paling penting, saya kini sudah berjaya berhenti menghisap rokok pada 20 Mei lalu sempena hari lahir keenam anak saya, Muhammad Rifdhi Muslim.

“Sekarang ini, saya lebih mengabdikan diri saya kepada Allah bersama kawan lain di rumah ini (Pengasih) supaya kehidupan saya kelak lebih sempurna demi Rifdhi,” katanya.

Radhi berharap pemulihannya pada kali ini akan menemui kejayaan di samping mengharapkan penghijrahan itu mampu menyedarkan rakan sealiran yang turut mengambil barang terlarang berkenaan.

Di samping menjalani proses pemulihan, Radhi juga berjaya menyiapkan beberapa lagu untuk album terbarunya dan sekiranya pemulihannya berjalan lancar, dia akan kembali memulakan karier seninya pada awal tahun depan.




 

Iktiraf tanpa dikenang

DOA...Abu Bakar berdoa di pusara abangnya, Allahyarham Mohamed di Tanah Perkuburan Islam di Kebun Teh, semalam.
DOA...Abu Bakar berdoa di pusara abangnya, Allahyarham Mohamed di Tanah Perkuburan Islam di Kebun Teh, semalam.
JOHOR BAHRU: Dalam kemeriahan seluruh rakyat Malaysia meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 hari ini, serentak dengan sambutan Aidilfitri, perasaan terkilan masih bersarang di sanubari keluarga pencipta Jalur Gemilang, Allahyarham Mohamed Hamzah.
Adik bongsu Allahyarham, Abu Bakar Hamzah, 76, berkata, keluarganya bersyukur selepas kerajaan mengesahkan abangnya sebagai pencipta Jalur Gemilang pada 17 Julai 2005, namun pengiktirafan secara zahir daripada pengesahan itu tidak diperoleh bekas jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor.

“Sudah tujuh tahun Allahyarham disahkan pencipta Bendera Malaysia yang kini lebih dikenali sebagai Jalur Gemilang, namun hingga kini arwah masih tidak menerima anugerah khas seperti dijanjikan pihak berkuasa. “Lebih menyedihkan, pusara Allahyarham usang termasuk simen di sekelilingnya terkopak, namun tiada pihak tampil membantu membaikinya,” katanya yang ditemui ketika mengunjungi pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dagang, Kebuh Teh di sini, semalam.

Pesara tentera itu berkata, keluarganya selain anak perempuan tunggal Allahyarham yang tinggal di Kuala Lumpur tidak dapat membiayai kos membaik pulih pusara kerana masing-masing tiada pendapatan.

Abu Bakar berkata, sekiranya kerajaan ingin mengenang jasa Allahyarham yang meninggal dunia pada 19 Februari 1993, keluarganya amat berbesar hati, sekurang-kurang membaik pulih pusara Allahyarham.

“Pengesahan Allahyarham sebagai pencipta Jalur Gemilang adalah pengiktirafan, namun apa faedahnya sekiranya tiada sebarang penghargaan diberikan hingga perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi di kalangan masyarakat.


“Apa salahnya, sedikit keuntungan hasil menjual buku bertajuk ‘Mohamed Hamzah Pereka Cipta Jalur Gemilang’ oleh pihak tertentu sejak beberapa tahun lalu digunakan untuk membaik pulih pusaranya sebagai tanda mengenang jasanya,” katanya.

Sehubungan itu, Abu Bakar berharap permintaan keluarganya diberi perhatian oleh pihak berkaitan bagi membolehkan orang ramai mengenali pusara Allahyarham yang berjasa kepada negara menerusi bendera Malaysia ciptaannya.

Persoalan siapa pencipta bendera Malaysia pertama kali dicetuskan Metro Ahad pada 29 Ogos 2004, beberapa hari menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-47 pada tahun berkenaan.

Selepas beberapa siri laporan berita mengenainya dibuat Metro Ahad dan Harian Metro, beberapa pihak tampil memberi maklumat, antaranya JKR Johor dan Yayasan Warisan Johor sebelum Allahyarham Mohamed dikenal pasti pencipta yang dicari-cari. Hanya selepas hampir setahun kemudian iaitu pada 17 Julai 2005, segala kemusykilan terungkai apabila Datuk Seri Dr Rais Yatim yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Kesenian, Kebudayaan, dan Warisan membuat pengumuman rasmi mengesahkan Mohamed pencipta Jalur Gemilang.

Kira-kira dua tahun selepas pengesahan rasmi itu, satu buku bertajuk ‘Mohamed Hamzah Pereka Cipta Jalur Gemilang’ dilancarkan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dalam majlis khas pada 17 Ogos 2007.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

   

Tuesday 30 August 2011

Beraya dengan perut kosong


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TUNGGU...ribuan penghuni kem IDPs menunggu di luar masjid untuk minta sedekah.
TUNGGU...ribuan penghuni kem IDPs menunggu di luar masjid untuk minta sedekah.
MOGADISHU: “Kami sudah beberapa hari tidak makan. Harap-harap di pagi Syawal ini ada pihak yang bermurah hati menghulurkan sedekah untuk membolehkan kami membeli makanan.”
Itu rintihan sayu seorang ibu muda bersama dua anak kecil sambil menghulurkan tangan kepada umat Islam yang keluar dari Masjid Isbahaysiga, di sini, selepas selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri pagi semalam.

Keadaannya yang lesu, mata berair dan kesan air mata yang sudah kering di pipi menambah syahdu wartawan Harian Metro ketika menembualnya.

Ibu muda dikenali sebagai Munah Adam, yang baru berusia 25 tahun itu adalah seorang daripada ribuan mangsa kebuluran di Somalia yang bergolak.

Wanita seperti Munah terdapat di mana-mana di jalan raya Mogadishu sejak penulis menjejakkan kaki ke bumi bergolak ini mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia sejak 25 Ogos lalu.

Aidilfitri di Somalia disambut dalam suasana serba kekurangan dan lebih menyayat hati ketika golongan lelaki menunaikan solat sunat Aidilfitri, ribuan kanak-kanak serta wanita berkumpul di luar masjid untuk meminta sedekah.


Sejurus saja tamat khutbah raya, semua yang berada di luar masjid berpusu-pusu menyerbu jemaah yang keluar untuk meminta sedekah.

Pada 1 Syawal semalam, masjid utama di negara yang mengalami krisis kebuluran paling teruk sejak 60 tahun itu, dikunjungi kira-kira 5,000 orang.

Bagaimanapun, hanya kira-kira 2,000 yang menunaikan sembahyang raya, selebihnya adalah penghuni kem IDPs yang datang untuk meminta bantuan.

Munah yang menghuni kem penempatan ‘Internal Displace Persons’ (IDPs) datang ke Masjid Isbahaysiga bersama dua anaknya jauh lebih awal sebelum solat Aidilfitri dilakukan.

Menurut ibu malang itu, Aidilfitri baginya sama seperti hari-hari biasa dalam kehidupan yang penuh penderitaan akibat dari peperangan yang berlaku lebih 20 tahun lalu.

“Kami lima sekeluarga termasuk suami, bapa dan dua anak perempuan sudah lebih sebulan menetap di kem IDPs. Aidilfitri tiada makna istimewa buat kami, hanya pada kebiasaannya ramai umat Islam bermurah hati menghulurkan sedekah.

“Tiada apa pun dalam hidup kami. Tiada rumah, tiada pekerjaan dan lebih teruk tiada makanan hingga kami sekeluarga kebuluran. Setiap hari kami hanya meminta belas ihsan dari orang untuk hulurkan sedekah makanan bagi mengalas perut,” katanya.

Munah berkata, dia dan keluarganya berjalan kaki sejauh kira-kira 250 kilometer dari luar Mogadishu ke kem IDPs untuk memastikan mereka mendapatkan bantuan makanan bagi meneruskan kehidupan kerana di kampung halaman sudah tiada apa-apa lagi.

“Setiap hari kami terpaksa keluar mencari makanan dengan meminta sedekah, namun ia tidak menjanjikan apa-apa kerana kebanyakan masyarakat di sini juga mengalami nasib seperti kami,” katanya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Meraikan hari kemenangan





MENGIKUT sejarah, negara Malaysia yang dahulunya lebih dikenali sebagai Tanah Melayu pernah dikuasai oleh beberapa kuasa asing sejak tahun 1511. Bermula dengan Portugis kemudian diikuti dengan Belanda dan British serta tidak ketinggalan Jepun yang pernah memerintah selama lebih tiga tahun.
Tanggal 31 Ogos 1957 merupakan tarikh yang begitu keramat kepada masyarakat di negara ini apabila ia bebas sepenuhnya daripada dijajah oleh Inggeris yang sudah menduduki Tanah Melayu sejak ratusan tahun yang lalu.
Sejak 31 Ogos 1957, setiap tahun negara meraikan hari kemerdekaan dengan menganjurkan aktiviti menarik iaitu acara perbarisan yang turut dihadiri oleh rakyat daripada segenap lapisan masyarakat.
Bagaimanapun, setelah 54 tahun rakyat Malaysia menyambut kemerdekaan negara, ternyata tahun ini sangat berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila sambutan dirayakan secara serentak dengan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam keghairahan umat Islam di Malaysia sedang membuat persiapan untuk menyambut hari lebaran, agak sedikit mendukacitakan apabila dilihat seolah-olah tidak ramai yang menyedari tentang Hari Kemerdekaan negara.
Berbanding pada tahun-tahun sebelum ini, apa yang paling ketara ialah masih ramai yang tidak memasang Jalur Gemilang di kenderaan masing-masing meskipun tanggal 31 Ogos tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Salah seorang pelakon popular, Remy Ishak yang ditemui sewaktu menjalani penggambaran filem Azazil menyifatkan tahun ini sangat istimewa dan pastinya sukar untuk dilupakan.
Menurut Remy, berbanding dengan negara-negara lain, sudah tentu Malaysia sahaja satu-satunya negara yang pada tahun ini meraikan serentak sambutan dua perayaan yang cukup besar dan bermakna.
“Mungkin ini adalah kali pertama tarikh sambutan Aidilfitri jatuh serentak dengan hari merdeka. Namun, saya merasakan kedua-duanya adalah hari yang sangat bermakna dan membawa pengertian yang sama.
“Kalau Hari Kemerdekaan negara disambut untuk kita meraikan kemenangan setelah bebas daripada tangan penjajah Inggeris, Aidilfitri pula disambut untuk meraikan kemenangan setelah sebulan menjalani ibadah puasa,” jelasnya.
Ditanya mengenai segelintir masyarakat yang dilihat seperti melupakan Hari Kemerdekaan negara, pelakon berkenaan berpandangan bahawa dia yakin rakyat Malaysia pastinya tidak akan melupakan hari bersejarah tersebut.

DARI kiri: Remy Ishak, Diana Danialle dan Sharnaaz pertama kali berganding sama dalam filem berjudul Azazil.



“Rasanya biarlah umat Islam di Malaysia sambut hari lebaran terlebih dahulu. Lagipun apa yang saya tahu, sambutan Hari Kemerdekaan akan tetap diadakan pada 16 September ini serentak dengan sambutan Hari Malaysia,” ujarnya.
Sementara itu, aktres Diana Danielle menyatakan erti kemerdekaan akan lebih dirasai apabila mengenang kembali jasa tokoh-tokoh terbilang negara yang telah berjuang untuk membebaskan tanah air daripada tangan penjajah.
Menurut pelakon yang turut membintangi filem yang diarahkan oleh Khabir Bhatia itu lagi, semasa zaman persekolahan dahulu dia memang jarang ketinggalan untuk meraikan sambutan Hari Kemerdekaan.
“Ketika bersekolah dahulu saya memang kerap menyertai pelbagai aktiviti sempena sambutan kemerdekaan di sekolah. Saya juga pernah menyertai acara perbarisan yang diadakan di Dataran Merdeka dan ia adalah satu pengalaman yang cukup menarik.
“Malah, setiap kali menjelang Hari Kemerdekaan saya turut tidak ketinggalan untuk memasang bendera di kereta. Kalau ada masa terluang, saya dan rakan-rakan akan menunggu detik 12 tengah malam bersama-sama ribuan rakyat Malaysia yang lain,” ujarnya.
Seorang lagi pelakon yang sedang meningkat naik, Sharnaaz Ahmad pula meluahkan rasa syukurnya kerana dapat menikmati kehidupan yang selesa dalam sebuah negara yang aman dan damai.
Menurutnya, sebagai sebuah masyarakat majmuk, penduduk di negara ini sepatutnya rasa beruntung kerana dapat hidup harmoni bersama-sama dengan pelbagai kaum yang lain tanpa ada sebarang persengketaan.
“Kalau lihat di beberapa buah negara yang lain, meskipun sudah mencapai kemerdekaan tetapi ada antara negara berkenaan masih lagi melalui kancah peperangan serta dalam keadaan huru hara.
“Jadi, kita seharusnya terus mengekalkan keamanan yang dinikmati ini memandangkan negara kita juga sekarang sudah 54 tahun merdeka dan bebas daripada penjajah,” ujarnya yang memegang watak Atan dalam filem Azazil.
Terpaksa bekerja
Menyentuh tentang sambutan Aidilfitri yang baru diraikan semalam, sudah tentu kurang lengkap rasanya kalau tidak ditanya tentang persiapan tiga pelakon muda ini dalam menyambut Aidilfitri kali ini.
Menurut Remy, dia hanya sempat membuat persiapan dua hari sebelum Aidilfitri memandangkan jadualnya yang cukup padat sepanjang bulan puasa ini terutamanya sibuk menjalani penggambaran filem Azazil.
“Boleh dikatakan sepanjang bulan puasa ini saya terpaksa bekerja dari pagi sehingga tengah malam. Namun, saya berasa lega kerana penggambaran filem ini hampir selesai dan rasanya sempat juga untuk saya membuat persiapan raya.
“Insya-Allah, selepas segala-galanya telah selesai saya akan pulang ke kampung di Masjid Tanah, Melaka untuk menyambut hari lebaran bersama-sama keluarga dan bercuti selama seminggu,” jelasnya.
Menurutnya lagi, untuk raya pada tahun ini dia tidak dapat bercuti lama kerana dalam masa terdekat dia akan turut terbabit dengan beberapa penggambaran.
“Selepas ini saya akan menjalani penggambaran filem berjudul 29 Februari yang diarahkan oleh Edry KRU. Memang jadual saya sangat padat sehingga hujung tahun ini dan saya akan berehat seketika pada awal tahun hadapan,” ujarnya.
Rumah Farid Kamil
Memandangkan sekarang ini masanya lebih banyak dihabiskan di lokasi penggambaran, Diana memberitahu segala persiapan raya telah diserahkan kepada ibunya.



Menurutnya, setakat ini ibunya sudah banyak membeli pelbagai jenis kuih raya memandangkan mereka sekeluarga tidak pulang ke kampung dan akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sahaja.
“Kami sekeluarga memang tidak pernah berbelanja besar dan sekadar sambut raya secara ala kadar sahaja. Lagipun yang paling penting buat saya adalah dapat berkumpul beramai-ramai bersama ahli keluarga.
“Malah, saya sendiri sekadar menyediakan sepasang baru kurung untuk dipakai pada pagi raya. Namun, saya juga memiliki dua pasang baju jenis kaftan yang dihadiahkan oleh seorang rakan yang baru pulang daripada mengerjakan umrah baru-baru ini,” ujarnya.
Tambah Diana, jika mempunyai masa terluang, dia tidak akan melepaskan peluang untuk pergi beraya ke rumah Farid Kamil memandangkan kekasih hatinya itu akan mengadakan rumah terbuka pada hari raya nanti.
Serentak
Boleh dikatakan tahun ini sememangnya cukup bertuah buat Sharnaaz Ahmad lantaran tawaran berlakon yang diterima semakin mencurah-curah dan lakonannya yang semakin diterima ramai.
Sama seperti Remy yang mempunyai jadual yang padat, pelakon yang mula dikenali menerusi telefilem Ungunya Cinta itu tidak dapat bercuti panjang untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama keluarga.
“Selepas selesai menjalani penggambaran filem Azazil ini, saya akan terus pulang ke kampung di Georgetown, Pulau Pinang. Saya cuma akan berada di kampung selama empat hari dan kembali ke Kuala Lumpur.
“Lagipun selepas cuti berhari raya nanti saya perlu buat persediaan untuk menjadi pelakon dalam video klip lagu Patah Seribu nyanyian Shila Amzah. Kemudian saya akan terbabit pula dalam sebuah drama arahan Osman Ali sebanyak 26 episod,” jelasnya.
Menariknya lagi, pelakon berkenaan tetap meluahkan rasa terujanya untuk menyambut Aidilfitri pada tahun ini memandangkan tarikh 1 Syawal adalah serentak dengan tarikh ulang tahun kelahirannya yang ke-26.

REMY ISHAK bercuti selama seminggu sementara Diana Danielle berhari raya di Kuala Lumpur.

Sains Sukan penentu kejayaan





BIDANG Sains dan Perubatan Sukan memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan serta kejayaan sukan di sesebuah negara.
Dalam kalangan negara maju dan pesat membangun, pengetahuan dalam dua bidang ini sudah lama dipraktikkan dalam arena sukan mereka.
Ia bukan saja penting kepada atlet sukan itu sendiri, malah turut merupakan asas utama kepada jurulatih dalam mengatur hala tuju sistem latihan yang sempurna kepada atlet.
Justeru, dalam usaha mencari kaedah tepat untuk meningkatkan lagi keupayaan dan kemampuan atlet Malaysia , Institut Sukan Negara (ISN) akan mengadakan satu persidangan Sains dan Perubatan Sukan Antarabangsa (SMSS) 2011 pada 28 hingga 30 September depan.
Ikuti temubual wartawan sukan Kosmo!, SHAHRIL NIZAM ABDULLAH dengan Ketua Pengarah ISN, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz mengenai misi dan visi persidangan antarabangsa kelima ini yang dijadualkan berlangsung di JW Marriot, Kuala Lumpur.
Kosmo!: Terima kasih Datuk kerana sudi meluangkan masa. Pertama sekali apakah tujuan utama persidangan ini diadakan?
DATUK DR. RAMLAN: Sebenarnya persidangan ini dibuat bagi mempromosikan peranan sebenar ISN dalam pembangunan sukan di negara ini khususnya dalam bidang Sains dan Perubatan Sukan kepada semua pihak, terutamanya kepada paksi kami di universiti-universiti negara ini dan juga kepada rakan-rakan kongsi kami.
Namun, apa yang lebih utama ialah persidangan ini mampu menjadi satu platform kepada pengamal-pengamal bidang sains perubatan sukan di Malaysia untuk bertukar fikiran, pengalaman dan merasai semangat berpasukan kerana tidak ramai golongan yang menceburi bidang ini di negara kita. Dengan kata lain, persidangan ini juga adalah satu mekanisme dalam menyatupadukan komuniti ini di Malaysia.
Menjemput pakar-pakar luar negara sebagai penceramah pula sebenarnya hanya untuk mendapat pengetahuan dan perkembangan baru dalam bidang sains perubatan sukan ini, serta melihat sama ada kita sudah bersedia atau tidak mengaplikasikannya di negara kita kerana ada sesetengah perkembangannya masih perlu dikaji kesesuaiannya dengan perkembangan sukan di Malaysia.
Ia juga akan mengukuhkan lagi hubungan dan kaitan di antara para pengamal, jurulatih, pakar-pakar, pengkaji, pelajar dan peminat sukan dalam disiplin sains perubatan dan teknologi serta menyediakan infomasi dan berkongsi pengalaman serta pengetahuan kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam pembangunan eko sistem sukan.




BOLEH jelaskan apakah peranan Sains dan Perubatan Sukan sebenarnya?
IA satu bidang atau kajian yang berkaitan dengan prestasi atlet. Walaupun ia hanya salah satu cabang dalam bidang kajian, namun isu atau fokus sebenarnya ialah mengenai pencarian cara dan maklumat untuk meningkatkan prestasi atlet. Sebagai contoh, memberi sokongan dan perubatan sukan kepada atlet dengan menumpukan terhadap pembangunan mental, ketahanan fizikal dan juga pemakanan mereka. Ia satu sokongan penting yang harus diaplikasikan kepada atlet dengan kadar segera dan tidak perlu menunggu sehingga lima atau enam tahun untuk melakukannya.
Jadi, bidang ini akan memberi peluang kepada kita mencari kaedah-kaedah tertentu dan sainstifik dalam membantu atlet meningkatkan prestasi mereka atau perkembangan-perkembangan lain yang berkaitan.
JELAS sekali Sains dan Perubatan Sukan adalah satu bidang yang penting dalam pembangunan sukan di sesebuah negara?
SUDAH tentu ia amat penting. Sesuatu kejayaan atau pencapaian yang dicipta oleh seseorang atlet itu bukan hanya bergantung kepada kemahiran dan bakatnya sahaja, malah ia turut melibatkan proses penjagaan fizikal seperti stamina dan kecergasan mereka serta aspek kekuatan mental seperti psikologi dan sosiologi. Malah ia bukan saja fokus kepada atlet sahaja, malah turut melibatkan proses kajian terhadap jurulatih sendiri.
Jika kita lihat Institut Sukan Australia (AIS), bukan bidang sains dan perubatan sukan sahaja di bawah mereka, tetapi jurulatih juga di bawah kendalian mereka. Begitu juga Institut Sukan Hong Kong yang mana negara mereka telah pun memenangi pingat emas dalam Sukan Olimpik. Mereka telah mendahului kita sekarang ini kerana sistem mereka di landasan yang betul.
Jadi, di sini kita boleh lihat ada perkaitan atau kesinambungan di antara jurulatih dengan proses-proses kajian Sains dan Perubatan Sukan ini kerana ia juga penting untuk menyalurkan dan menyerap amalan sains sukan tersebut kepada jurulatih kerana kejurulatihan sendiri ialah satu daripada sains sukan. Ia bukan saja mengenai teknik dan kemahiran sahaja.




MENARIK sekali. Baiklah, mengenai persidangan ini nanti, siapakah penceramah yang akan hadir?
KITA menjemput speaker dari luar dan dalam negara. Antara speaker luar negara yang akan hadir ialah Prof. Ron Maughan dari Universiti Loughborough, United Kingdom, Dr. Aaron Coutts dari Universiti Teknologi Sydney, Australia dan Dr. Shona Halson dari AIS, Canberra, Australia.
Manakala speaker tempatan pula ialah Assoc. Prof. Dr. Teoh Heng Teong, penasihat bagi Fitness Concept Malaysia dan juga Tan Sri Dr. M. Jegathesan yang akan memberi ucapan pada hari pembukaan nanti.
SIAPA yang boleh menghadiri persidangan ini?
SMSS 2011 terbuka kepada semua masyarakat yang meminati bidang sukan di luar sana. Dan ia juga terbuka kepada mereka yang terlibat secara langsung dalam arena sukan seperti jurulatih, atlet, pakar-pakar atau juga pelajar-pelajar di dalam dan luar negara.
Yuran penyertaan kepada pelajar tempatan ialah RM250, bagi peserta tempatan pula ialah RM500 manakala bagi pelajar antarabangsa pula ialah AS$250 dan peserta antarabangsa AS$450.
APAKAH faedah persidangan SMSS 2011 ini kepada sukan negara?
JIKA persidangan seperti ini dapat diadakan selalu, sekurang-kurangnya setiap tahun, jadi faedah dapat disumbangkan kepada eko-sistem sukan kita sendiri, termasuk kepada stakeholder dapat memberi sumbangan kepada budaya baru dalam sukan seperti debat, perbincangan, kompromi dan cara-cara menyelesaikan sesuatu permasalahan itu dengan lebih teratur dan saintifik.
Malah, persidangan ini juga mampu menjana pendapatan kepada negara dari segi industri sukan. ISN menyokong seratus peratus konsep industri sukan yang perkenalkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana ia satu sektor penting dalam pembangunan sukan buat masa ini. Dengan adanya kesedaran yang wujud dalam persidangan ini, ia bakal menarik minat orang luar untuk datang menggunakan kepakaran dan perkhidmatan yang ditawarkan hasil daripada impak positif dalam persidangan seperti ini.




AKHIR sekali, boleh Datuk jelaskan mengenai akta ISN?
AKTA ini sebenarnya bukan satu pemisahan dengan Majlis Sukan Negara (MSN), tetapi ia adalah usaha untuk ISN kembali semula ke tujuan asal penubuhannya. Dalam dokumen daripada pakar-pakar dari Jerman yang dibentangkan pada 1985, konsep asal MSN ini dilahirkan pada 1972 dengan menubuhkan satu unit sahaja iaitu unit perubatan dan penyelidikan di Kementerian Budaya dan Sukan ketika itu.
Jadi, konsep asal MSN pada masa itu adalah sama seperti ISN ketika ini iaitu menjalankan penyelidikan sains sukan. Namun pada 1994, fungsi ISN dihidupkan kembali dan ditambah dua unit lagi iaitu unit kejurulatihan dan juga unit sumber maklumat. Maka lengkaplah ISN sebagai sebuah institut.
Oleh itu kami, harus mencari jalan yang baik untuk kembali semula menjalankan fungsi sebenar kami seperti tujuan asal dan tiada pertindihan dengan MSN. Kita kena percaya apa yang ada pada rang undang-undang itu amat relevan bukan saja hari ini, malah juga pada masa depan.
Apa pun, akta ini tujuannya ialah untuk memberi pengupayaan kepada ISN bagi menjalankan tugas seperti yang perlu yg perlu dijalankan .itu saja

BIDANG Sains dan Perubatan Sukan bakal memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kecemerlangan seseorang atlet pada masa hadapan.

KEJAYAAN seseorang atlet itu bukan hanya bergantung kepada kemahiran sahaja, namun turut melibatkan proses penjagaan fizikal dan mental atlet itu sendiri.

KEPAKARAN yang dimiliki ahli fisioterapi amat penting dalam mencari kaedah yang sesuai bagi proses meningkatkan prestasi atlet secara keseluruhannya.

RM45 juta ganti peralatan usang di HKL


KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan menggantikan kelengkapan perubatan yang usang di beberapa unit di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebaik sahaja permohonan peruntukan RM45 juta diluluskan kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, antara unit terbabit ialah Unit Rawatan Rapi dan Unit Penjagaan Koronari.
“Permohonan peruntukan itu sudah dipanjangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas melawat warga HKL sempena sambutan Aidilfitri di sini semalam.
Selain itu, Tiong Lai berkata, HKL kini dalam proses naik taraf meliputi antaranya pembinaan tempat letak kereta bertingkat dan blok baru bernilai RM600 juta bagi Hospital Ibu dan Anak.
“Blok baru Hospital Ibu dan Anak ini akan dibina tahun depan. Sekarang ini kita dah ambil tender dan kita juga akan tempatkan 400 buah katil tambahan untuk blok ini,” katanya.
Selain itu, HKL juga bakal mempunyai pusat jagaan harian iaitu Ambulatory Care Centre (ACC) bernilai kira-kira RM90 juta yang menempatkan semua pakar bagi pesakit mendapatkan rawatan harian, rujukan dan susulan.
Ikuti berita selanjutnya di Kosmo! hari ini.

Copperfield bida patung tukang tilik bercakap


BANDAR VIRGINIA, Amerika Syarikat – Ahli silap mata terkenal, David Copperfield membina sebanyak AS$2 juta (RM5.96 juta) untuk membeli mesin patung tukang tilik gispsi yang boleh bercakap dan berusia 200 tahun.
Copperfield percaya ia merupakan satu-satunya mesin patung tukang tilik gipsi di dunia yang boleh bercakap.
Mesin itu kini dipamerkan di sebuah restoran di bandar ini.
Patung itu sebenarnya bercakap selepas seseorang memasukkan duit siling lima sen untuk mengetahui ramalan masa depannya.
Mata patung itu akan bercahaya dan giginya bergerak semasa ia mengeluarkan suara selepas duit tersebut dimasukkan.
Bagaimanapun, ia mengeluarkan suara menerusi alat rakaman yang telah dirakamkan terlebih dahulu.

Biodata Tokoh: Tun Dr. Mahathir Mohamad



Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.



Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945.



Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain.



Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis.



Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar.



Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat.

Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970.



Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang tuguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan profesional dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni pertukangan kayu sebagai satu hobi. Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan Honorary Freedom of the Worshipful Company of Carpenters oleh British Carpenters Society.



Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula didalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya.



Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara.



Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969.



Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding.



Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).



Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan. Akan tetapi sebagai seorang yang berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Panduan Kementerian Pendidikan.



Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau.



Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dimasa yang sama menjadi Timbalan Presiden Parti.



Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing.

Kemenangan Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun.



Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003.



Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Walaupun kadangkala cetusan idea dan wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya.



Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut.



Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.



Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu 'mengikat diri' kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah, Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara.



Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.



Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahan-bahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan harga matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun.



Kini, kebergantungan ekonomi negara terhadap bidang perindustrian begitu ketara apabila sektor perkilangan membentuk 30% daripada asas ekonomi negara manakala sektor pertanian menurun kepada 8% sahaja berbanding 23% kira-kira 22 tahun lalu.



Dr. Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu suatu dasar dimana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebebanan kewangan dan kerajaan. Dimasa pentadbirannya banyak syarikat-syarikat utiliti seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekom dan sebagainya, telah disenaraikan sebagai korporat awam. Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya pengeluaran serta imej negara. Di antara langkah-langkah lain, ialah peningkatan pembagunan industri berat dan yang penting juga pertukaran teknologi asing kepada teknokrat Malaysia. Salah satu kejayaan didalam gerakan ini ialah penubuhan industri otomatif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Persyarikatan juga bertujuan menjana kerjasama dan bekerja sebagai rakan kongsi antara sektor awam. Dr. Mahathir juga meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan beberapa saham amanah dalam porfolio PNB.



Dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Antara yang terawal ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia).





Walaupun projek beliau ini dianggap agak keterlaluan memandangkan negara ketika itu masih muda dalam projek pembuatan kereta nasional namun negara kita boleh berbangga kerana projek ini begitu berjaya sehingga mampu bersaing dengan pengeluar kereta lain di seluruh dunia.



Sebagai orang yang memegang tampuk tertinggi pengurusan negara, masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal.



Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik.



Walau banyak pihak mempersoalkan dasar ini, disebabkan terdapat tuduhan berlaku sikap pilih kasih terhadap syarikat yang ditawarkan projek-projek kerajaan, namun lebih ramai orang dapat menikmati hasil yang lebih baik daripada dasar yang dibuat ini.



Selain itu, dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi.



Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam mengurus 'perniagaan' sememangnya sesuatu yang semula jadi kerana beliau pernah menjadi usahawan muda di Pekan Rabu, Alor Setar semasa masih berada di alam persekolahan.



Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan.



Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi 'CEO' Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas.



Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia.



Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja.



Sumber: Buku Majlis Konvokesyen Khas Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) Kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali.

Monday 29 August 2011

Tentang diri penulis BLOG KekandaAzmi92

Azmi Alias
Nama      :   Muhammad Noor Azmi Bin Alias
T.Lahir    :   22 Disember 1992
Satus :  Bujang
Umur : 19 tahun
Asal        :   Klang ( SELANGOR ) dan membesar di Klang...
Pendidikan : 1999-2006 ( SK La Salle Klang , SRA Tmn Klang Jaya )
                   2009 ( SMK La Salle Klang , SMK Raja Mahadi                                                      
                   2010 (PTPL/MSU ShaH Alam : Bidang / Diploma Pengurusan )
Adik-Beradik  :  Anak ke-7 dari 7 adik Beradik

Tolak dan kecam kenyataan persenda pengorbanan pejuang negara: PM

 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak hari ini menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang penyataan dan usaha oleh mana-mana pihak yang ingin mempersenda atau memperlekehkan pengorbanan mulia wirawan dan wirawati negara serta keluarga mereka.
"Dalam syiar meriahnya perayaan dan besarnya jiwa kemerdekaan, saya menyeru kepada semua agar tidak sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata bapa-bapa kita pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang. "Kita berasa kesal kerana mereka sebaliknya pula memperagungkan Parti Komunis Malaya yang anti Tuhan, anti agama dan anti Nasional," katanya dalam perutusan khas Hari Raya Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan ke-54 yang disiarkan melalui RTM di sini, malam ini.

Seruan beliau berikutan kenyataan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu baru-baru ini yang memperkecilkan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dan memperagungkan pengganas komunis.

Perdana Menteri juga mengingatkan apa yang dikecapi kini semuanya tidak terjelma dengan berwenang-wenang ataupun kekal bestari jika bahtera keramat kemerdekaan Malaysia tercinta ini terbiar hanyut tidak dikemudi dengan tulus, tidak dihargai dan musnah tanpa dipelihara.

"Jadi, di atas segala-galanya, bagi memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan bumi Malaysia kekal berkesinambungan, maka perpaduan nasional perlu terus dibajai dan diperkukuhkan. Mudah-mudahan jua atas keinsafan ini makin tersepuh dan menebal semangat patriotisme dan kecintaan yang kukuh kepada pertiwi di setiap sanubari kita," katanya.
Beliau berkata, sempena perayaan Aidilfitri dan kehangatan menyambut Hari Kemerdekaan pada Rabu ini, membawa permaknaan dan pengertian yang mendalam mengenai betapa besarnya kurniaan Ilahi Malaysia yang makmur serta bebas dari sebarang ancaman dan kebimbangan terhadap keselamatan mereka.

"Kedua-dua perayaan ini mempunyai signifikan begitu besar kepada negara yang mempunyai kemajmukan amat kompleks seperti Malaysia di mana bukan sahaja wujud perbezaan daripada segi etnik tetapi juga teranyam indah dengan kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan taraf sosioekonomi," katanya.

"Hakikatnya bahawa, Malaysia dan sedang dirahmati nikmat keamanan juga kemakmuran tidak mampu disangkal oleh mana-mana pihak," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan juga akan terus mengambil tindakan memperbaiki dan memperelok secara berperingkat dalam membantu rakyat menangani fenomena kenaikan kos hidup.

Katanya, pelbagai langkah awal diambil, termasuk menjadikan matlamat menangani kos hidup semakin meningkat sebagai satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan menwujudkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata, antara beberapa inisiatif awal bagi membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung ialah Kedai Rakyat 1Malaysia yang menawarkan barangan keperluan yang mampu dibeli dengan harga yang lebih rendah berbanding harga pasaran.

Di samping itu, Klinik-Klinik 1Malaysia pula rawatan asas boleh diperolehi dengan bayaran RM1 serta Program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (KAR1SMA) dengan peruntukan berjumlah RM1.4 Bilion kepada 500,000 warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal serta balu polis atau tentera yang berkelayakan.

Beliau berkata, kerajaan juga akan meneruskan dasar memberi subsidi secara langsung atau tidak langsung, terutamanya subsidi bahan makanan terpilih seperti beras, minyak masak, tepung gandum dan gula.

"Begitu juga dengan bahan bakar seperti Petrol RON95, Diesel dan LPG serta perkhidmatan kesihatan dan pendidikan," katanya.

"Akan tetapi, kita berhasrat melakukannya dengan lebih cermat dan bijaksana tanpa menjejaskan kesihatan fisikal negara dengan mendukung prinsip bahawa mereka yang lebih memerlukan dan berkelayakan akan didahului serta diutamakan," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata walaupun fenomena kenaikan harga bahan makanan bersifat global, namun kerajaan tetap akan berusaha mencari mekanisme terbaik bagi menangani masalah tersebut dan kos kehidupan yang tinggi.

Mengenai Jawatankuasa Kabinet Mengenai Bekalan dan Harga Barang, katanya, ia membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan program yang bakal digubal serta dilaksanakan akan benar-benar mampu membantu rakyat.

Dalam pada itu, Najib menegaskan usaha kerajaan tidak terhenti kerana melalui Bajet 2012 yang akan dibentangkan pada awal Oktober, akan mengumumkan langkah-langkah susulan bersifat lebih komprehensif bagi menangani masalah yang memberi kesan kepada isi keluarga yang berpendapatan rendah dan pertengahan.

Beliau yang bangga dengan pencapaian negara, mengibaratkan Malaysia sebagai sebuah oasis di tengah-tengah dunia berkecamuk sedang dilanda badai politik serta kegoncangan ekonomi yang bertali arus.

"Hari ini, seperti yang kita maklum, ketika gergasi ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan juga beberapa negara anggota Kesatuan Eropah yang dikelompokkan sebagai ekonomi maju sedang bergelut dengan krisis kewangan serius sehingga memerlukan penyelamatan atau 'bailout'.

"Sebaliknya, Malaysia hasil pengurusan yang berhemah serta cekap, masih mampu bukan sahaja untuk mengembangkan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baru tetapi juga untuk memberikan setengah bulan bonus kepada 1.4 juta penjawat awam yang menelan belanja RM2 bilion menjelang sambutan istimewa perayaan Aidilfitri dan Hari Kemerdekaan," katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan rakyat agar tidak sesekali terbuai dan berpuas hati dengan kejayaan yang dicapai setakat ini kerana matlamat tertinggi kerajaan adalah untuk mendahulukan kebajikan seluruh rakyat, sebagai suatu urutan keutamaan yang telah menjadi wawasan nasional sejak negara mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, kerajaan terus melaksanakan pelbagai program proaktif bagi memastikan pencipataan kekayaan baru, pertumbuhan ekonomi berterusan dan penciptaan pekerjaan berganjaran tinggi selaras dengan kemahiran yang semakin meningkat.

"Apa yang diimpikan adalah sebuah negara yang makmur dan sejahtera di mana setiap individu sanggup bekerja keras, meningkatkan kemahiran secara istiqomah dan beriltizam menggunakan segala peluang dengan bijak agar dapat mencorak sebuah kehidupan bahagia berkelangsungan hingga cucu cicit kita kelak," katanya

Umat Islam sambut Aidilfitri esok

 
KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan malam ini.

Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Selasa, 30 Ogos 2011," katanya.
Tarikh Hari Raya Aidilfitri ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan rukyah dan hisab menerusi 30 tempat pencerapan di seluruh negara.

Sunday 28 August 2011

Stesen Keretapi dikawal rapi


JAKARTA: Puluhan polis bersenjata mengawal stesen kereta api Gambir di pusat bandar raya ini selepas sekumpulan penyerang termasuk seorang anggota tentera cuba merampas kereta api yang menuju ke Jawa Timur, semalam.
“Kami berada di sini bagi memastikan keselamatan setiap orang,” kata anggota polis, Wawan, semalam kepada akhbar Internet, tribunnews.com. Penumpang, Cheril yang menunggu untuk menaiki kereta api berkata, kehadiran anggota polis adalah satu kelegaan kerana dia tahu ke mana hendak lari jika sesuatu kejadian tidak diingini berlaku. - Agensi
kredit : hmetro.com.my

Planet berbentuk berlian dijumpai



Planet berlian seperti yang digambarkan oleh penyelidik Pusat Astrofizik Institut Harvard Smithsonian di Amerika Syarikat (AS).
MANCHESTER, Britain – Ia mungkin planet idaman wanita. Sekumpulan ahli astronomi percaya mereka telah menemui sebuah planet yang terbentuk sepenuhnya daripada berlian.
Saintis-saintis antarabangsa di Universiti Manchester di sini menyatakan, mereka menemui planet berlian itu selepas mengesan sebutir bintang mega di galaksi Bima Sakti yang telah hancur dinamakan pulsar. Teras bintang itu, kata mereka, bertukar menjadi kristal berlian sebesar sebuah planet.
Para penyelidik berkenaan membuat penemuan itu dengan menggunakan sebuah teleskop gergasi di sebuah balai cerap di Cheshire, England. Planet berlian itu memiliki diameter 64,000 kilometer atau lima kali ganda lebih besar daripada Bumi. – Agensi

Share Bangunan unik yang tergantung

Rekaan yang mirip stesen angkasa lepas ini memiliki 80 unit rumah kediaman.
CALCUTTA, India – Sebuah struktur menyerupai stesen angkasa lepas lengkap dengan taman di atas bumbungnya merupakan antara lebih 12 rekaan unik yang tersenarai dalam pertandingan Festival Arkitek Dunia di bandar raya Barcelona, Sepanyol pada tahun depan. Sekali pandang, struktur futuristik itu kelihatan tergantung di udara pada ketinggian 100 meter dari tanah.
Diberi nama Atmosphere, ia sebenarnya menyambungkan dua bangunan pencakar langit. Reka bentuk struktur berkenaan yang kelihatan lebih hebat daripada bangunan Taj Mahal dihasilkan beberapa arkitek di sini. Idea untuk menghasilkan binaan tersebut diinspirasikan daripada kehidupan tradisional masyarakat Hindu.
Atmosphere memiliki 80 unit rumah yang sesuai diduduki oleh pasangan berkeluarga. Antara penyertaan lain yang turut menarik perhatian sempena pertandingan berprestij itu termasuk bangunan reben coklat dan bangunan kulit kerang. – Agensi
kredit : kosmo.com.my

Singapure ada presiden baru( 29 August 2011)

Bekas Timbalan Perdana Menteri Singapura, Tony Tan berucap pada satu sidang media selepas kemenangannya dalam pilihan raya presiden kelmarin.
SINGAPURA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tony Tan dipilih sebagai Presiden Singapura yang ketujuh selepas beliau menang tipis dalam pilihan raya presiden kali ini.
Tan dikaitkan dengan parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) kerana beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara yang pernah dipegangnya seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.
Ketua Jabatan Pilihan Raya, Yam Ah Mee semasa mengumumkan keputusan pilihan raya itu lewat kelmarin memberitahu, Tan, 71, menerima 35 peratus daripada kira-kira 2.1 juta undi keseluruhan. Ini sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Tan Cheng Bock yang merupakan bekas ahli Parlimen dengan kelebihan cuma 7,269 undi.
Menurut pegawai pilihan raya berkenaan, seorang lagi calon, Tan Jee Say memperoleh 25 peratus undi. Calon keempat dan terakhir, Tan Kin Lian pula sekadar memperoleh lima peratus undi.
Pengumuman keputusan pilihan raya itu terpaksa ditangguhkan selama beberapa jam kelmarin apabila pegawai-pegawai pilihan raya diminta mengira semula kertas undi berikutan persaingan yang begitu sengit antara Tan dan Cheng Bock.
Pilihan raya tersebut dilihat oleh ramai penganalisis politik sebagai isyarat bahawa pengaruh PAP semakin pudar dalam kalangan rakyat. Tan hanya memperoleh 35 peratus undi dalam pilihan raya berkenaan, jauh merosot berbanding 60 peratus undi yang diperoleh PAP pada pilihan raya umum Mei lalu.
Pilihan raya umum tersebut turut mempamerkan prestasi terburuk PAP sejak 52 tahun memerintah Singapura.
Seorang pakar ekonomi yang berpangkalan di Singapura, Song Seng Wun berkata, keputusan pilihan raya kali ini yang diadakan untuk memilih ketua negara Singapura itu terus menunjukkan dominasi kuasa yang dimiliki PAP selama ini semakin terhakis.
“PAP tidak sekuat seperti empat dekad lalu,” kata Seng Wun.

“Hanya seorang daripada tiga pengundi memilih Tan yang dikait rapat dengan PAP. Dua daripada tiga pengundi memilih calon lain. Ini adalah isyarat yang jelas,” tambahnya. Seorang pembaca pula menulis dalam sebuah forum Internet bahawa Tan “sepatutnya malu kerana cuma mendapat 35 peratus undi”.
Malah, beberapa penganalisis politik turut menyatakan bahawa Tan akan tewas sekiranya pilihan raya presiden kali ini menampilkan pertandingan satu lawan satu. Selepas kemenangannya, Tan segera merayu kepada pengundi yang tidak memilihnya.
“Presiden Singapura adalah Presiden kepada semua rakyat Singapura, bukan hanya untuk mereka yang memilih saya atau untuk mereka yang tidak memilih saya,” kata pemimpin veteran itu selepas kemenangannya diumumkan.
“Saya akan bekerja sedaya upaya demi kebaikan rakyat Singapura tanpa mengambil kira fahaman politik mereka,” tambahnya. Beliau dijadual mengangkat sumpah sebagai Presiden Singapura yang ketujuh pada 1 September depan.
Presiden Singapura yang dipilih setiap enam tahun memiliki kuasa veto untuk menolak pelantikan penting dalam pentadbiran negara di samping menjaga simpanan luar Singapura yang kini berjumlah sekitar AS$250 bilion (RM746.2 bilion).
– Agensi

New Jersey dibadai taufan

Imej satelit menunjukkan Taufan Irene selepas ia membadai pesisir pantai Amerika Syarikat di sebelah Lautan Atlantik kelmarin.
TOMS RIVER, Amerika Syarikat (AS) – Lebih sejuta orang melarikan diri dari bandar-bandar peranginan di sepanjang pantai New Jersey beberapa jam sebelum Taufan Irene melanda negeri berkenaan kelmarin.
Orang ramai yang tinggal di pesisir pantai dan pulau termasuk lokasi terkenal seperti Atlantic City, Cap May serta Pulau Long Beach diwajibkan berpindah. Taufan Irene dijangka melanda negeri itu dengan kelajuan angin mencapai 120 kilometer (km) sejam.
Taufan berkenaan turut membawa hujan 15 sentimeter (sm) hingga 30 sm sejak malam kelmarin. Sebelum ini, sebanyak empat kematian dilaporkan berlaku di negeri Carolina Utara dan Virginia yang turut dilanda taufan tersebut.
“Lebih sejuta orang telah meninggalkan kawasan pantai di New Jersey dalam tempoh 24 jam yang lalu. “Cara terbaik untuk mengelakkan kemalangan jiwa adalah tiada siapa yang boleh tinggal di kediaman mereka,” kata Gabenor Chris Christie dalam satu sidang media.
Sebelum itu, bandar raya New York lumpuh dibadai Taufan Irene dengan bekalan elektrik kepada 2 juta kediaman dan premis perniagaan terputus. Setakat ini, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh akibat bencana alam itu di AS. - Agensi

Raya yang disambut orang MUDA-MUDI





KENANGAN berhari raya sewaktu zaman kanak-kanak pasti masih segar di ingatan bagi kebanyakan individu. Tentunya saat itu merupakan hari paling gembira apabila berpeluang mengutip duit raya dari satu rumah ke satu rumah.
Perasaan malu langsung tidak wujud dalam kotak fikiran mereka, malah bila sudah terlalu kenyang, mereka sekadar datang untuk mendapatkan habuan duit raya tanpa menyentuh aneka juadah yang terhidang di depan mata.
Itulah makna hari raya bagi kanak-kanak yang sukar dinafikan iaitu Aidilfitri sebagai medan mengumpul wang paling banyak. Namun, apabila semakin menginjak remaja, definisi hari raya juga berubah seiring pertambahan usia mereka. Tabiat berhari raya dari rumah ke rumah, semakin ditinggalkan lantaran malu jika diajuk mahu mengutip duit raya.
Sebaliknya, golongan ini lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga di rumah sambil menonton pelbagai siaran menarik sempena musim perayaan.
Tidak ketinggalan, mereka juga akan meluangkan masa keluar ke pusat beli-belah bersama teman-teman sambil menonton wayang dan sebagainya.


AIDILFITRI menjadi masa yang paling sesuai untuk orang muda mengeratkan silaturrahim dengan saudara dan rakan-rakan.

Bagi Siti Nur Liyana Yunus, 22, selepas menumpukan perhatian pada kerja yang tidak akan pernah habis, Aidilfitri merupakan medan terbaik berkumpul bersama kaum keluarga.
Ini waktu terbaik untuk kita mengenali sanak-saudara dengan saling mengunjungi antara satu sama lain. Secara peribadi saya berpendapat bahawa ia satu tradisi yang perlu diteruskan untuk mengeratkan silaturahim.
Malah, generasi baru seperti kami harus menggunakan kesempatan yang ada untuk berbuat demikian, katanya sambil menambah satu kerugian besar buat mereka yang hanya tahu melepak di rumah tanpa berhasrat melawat sanak-saudara pada perayaan Aidilfitri.
Pendapat Nur Liyana disokong temannya, Siti Mariam Haslan, 27, yang bagaimanapun meraikan hari lebaran dengan cara berbeza.
Menjelang Aidilfitri, Mariam memberitahu, dia pasti akan mengambil cuti semaksimum yang mungkin untuk membawa keluarganya bercuti.
Biasanya saya akan bercuti selama dua minggu dan kemudian kami akan ronda satu Malaysia untuk melawat saudara atau pun bersantai ke kawasan peranginan terkenal, ujar anak kedua daripada empat adik-beradik ini.


JIKA bagi kanak-kanak hari raya bermakna masa untuk mengumpul wang, namun definisi itu semakin berubah apabila seseorang dewasa.Masa melawat saudara

Menyentuh tentang persiapan raya pula, Mariam gemar menyediakannya lebih awal seperti membuat kuih-muih, menukar duit raya dan membeli pakaian untuk keluarga.
Katanya, apabila dewasa keperluan adik-adik lebih diutamakan berbanding diri sendiri. Ini membuatkan dia suka membeli baju raya untuk dirinya pada saat-saat akhir.
Yang penting biar adik-adik seronok. Tentunya saya akan rasa puas jika melihat kegembiraan mereka apabila segala keperluan raya telah disediakan, tuturnya sambil tersenyum.
Seorang lagi remaja, Rabiatul Najiha Omar, 15, ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor baru-baru ini mengakui hari raya merupakan hari untuknya bersuka ria.
Maklumlah selepas sebulan menahan lapar dan dahaga kerana menunaikan ibadah puasa, maka Aidilfitri perlu dirayakan sepenuhnya.
Berkongsi pengalaman, Rabiatul atau lebih mesra disapa Ruby seronok apabila menyambut raya pada usia remaja. Jelasnya, sewaktu kecil semua persiapan seperti baju dan kasut raya akan dibeli oleh kedua ibu bapa mengikut cita rasa mereka.
Tapi kini, saya sudah boleh memilih pakaian yang digemari tanpa terikat dengan keputusan ibu bapa. Cuma, duit mestilah daripada mereka kerana saya belum bekerja.
Walaupun mengikut cita rasa sendiri, namun saya tidaklah sampai memilih barangan yang mahal. Memadai jika ia menarik dipandang, luahnya yang kelihatan anggun berkebaya putih sambil asyik memilih pakaian untuk berhari raya di sebuah butik.
RABIATUL NAJIHA membeli-belah kelengkapan hari raya bersama rakannya di sebuah butik di Kluang, Johor baru-baru ini.


Masih terima duit raya
Ditemani seorang rakan yang turut mencari persalinan untuk lebaran, Ruby tidak segan mengakui bahawa dirinya masih mendapat duit raya daripada ibu bapa dan sanak saudara yang mengunjungi mereka.
Biasanya masa kecil dapat duit raya dalam RM1 atau RM2 sahaja. Tetapi, bila dah sekolah menengah bertambah jugalah nilainya, lancar ucapan yang keluar dari bibir mungil Ruby.
Sementara itu, Noor Atikah Ismail, 15, berpendapat hari raya boleh dianggap hari kebebasan untuk semua terutama selepas sebulan menahan diri daripada lapar dan dahaga kerana menunaikan kewajipan berpuasa.
Tambahnya, agenda utama sebagai remaja sudah tentu untuk keluar bersama teman-teman dan melepaskan tekanan menghadap buku.
Menonton wayang, keluar makan dan pergi beraya di rumah kawan antara perkara wajib yang akan dilakukan setiap kali tibanya Aidilfitri.
Namun, itu semua hanya akan dibuat selepas meraikan hari raya bersama keluarga tercinta pada 1 Syawal, beritahu Atikah yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik yang semuanya perempuan.
Ditanya juadah kegemaran pada pagi raya, Atikah pantas menjawab: Sudah tentu ayam masak sambal air tangan ibu tercinta selain rendang dan ketupat.
Apa pun makna Aidilfitri yang lahir daripada pemahaman remaja ini, hakikatnya dalam Islam, ia merupakan hari kemenangan yang dinantikan oleh semua umatnya selepas berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan pada bulan Ramadan.
Di Malaysia, apabila tibanya Aidilfitri terdapat beberapa amalan atau tradisi yang lazim dilakukan sempena meraikan hari bahagia itu.
Contohnya seperti tradisi balik kampung, menziarahi pusara ahli keluarga yang telah meninggal dunia, mengunjungi sanak-saudara dan bermaaf-maafan antara satu sama lain, mengadakan rumah terbuka serta amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak.
Namun, hakikatnya di sebalik perayaan Aidilfitri, ia mengandungi makna yang jauh lebih mendalam berbanding daripada apa yang kita lihat dari sudut zahir yang perlu direnungi bersama.
kredit : kosmo.com.my