Sunday 28 August 2011

Raya yang disambut orang MUDA-MUDI





KENANGAN berhari raya sewaktu zaman kanak-kanak pasti masih segar di ingatan bagi kebanyakan individu. Tentunya saat itu merupakan hari paling gembira apabila berpeluang mengutip duit raya dari satu rumah ke satu rumah.
Perasaan malu langsung tidak wujud dalam kotak fikiran mereka, malah bila sudah terlalu kenyang, mereka sekadar datang untuk mendapatkan habuan duit raya tanpa menyentuh aneka juadah yang terhidang di depan mata.
Itulah makna hari raya bagi kanak-kanak yang sukar dinafikan iaitu Aidilfitri sebagai medan mengumpul wang paling banyak. Namun, apabila semakin menginjak remaja, definisi hari raya juga berubah seiring pertambahan usia mereka. Tabiat berhari raya dari rumah ke rumah, semakin ditinggalkan lantaran malu jika diajuk mahu mengutip duit raya.
Sebaliknya, golongan ini lebih gemar menghabiskan masa bersama keluarga di rumah sambil menonton pelbagai siaran menarik sempena musim perayaan.
Tidak ketinggalan, mereka juga akan meluangkan masa keluar ke pusat beli-belah bersama teman-teman sambil menonton wayang dan sebagainya.


AIDILFITRI menjadi masa yang paling sesuai untuk orang muda mengeratkan silaturrahim dengan saudara dan rakan-rakan.

Bagi Siti Nur Liyana Yunus, 22, selepas menumpukan perhatian pada kerja yang tidak akan pernah habis, Aidilfitri merupakan medan terbaik berkumpul bersama kaum keluarga.
Ini waktu terbaik untuk kita mengenali sanak-saudara dengan saling mengunjungi antara satu sama lain. Secara peribadi saya berpendapat bahawa ia satu tradisi yang perlu diteruskan untuk mengeratkan silaturahim.
Malah, generasi baru seperti kami harus menggunakan kesempatan yang ada untuk berbuat demikian, katanya sambil menambah satu kerugian besar buat mereka yang hanya tahu melepak di rumah tanpa berhasrat melawat sanak-saudara pada perayaan Aidilfitri.
Pendapat Nur Liyana disokong temannya, Siti Mariam Haslan, 27, yang bagaimanapun meraikan hari lebaran dengan cara berbeza.
Menjelang Aidilfitri, Mariam memberitahu, dia pasti akan mengambil cuti semaksimum yang mungkin untuk membawa keluarganya bercuti.
Biasanya saya akan bercuti selama dua minggu dan kemudian kami akan ronda satu Malaysia untuk melawat saudara atau pun bersantai ke kawasan peranginan terkenal, ujar anak kedua daripada empat adik-beradik ini.


JIKA bagi kanak-kanak hari raya bermakna masa untuk mengumpul wang, namun definisi itu semakin berubah apabila seseorang dewasa.Masa melawat saudara

Menyentuh tentang persiapan raya pula, Mariam gemar menyediakannya lebih awal seperti membuat kuih-muih, menukar duit raya dan membeli pakaian untuk keluarga.
Katanya, apabila dewasa keperluan adik-adik lebih diutamakan berbanding diri sendiri. Ini membuatkan dia suka membeli baju raya untuk dirinya pada saat-saat akhir.
Yang penting biar adik-adik seronok. Tentunya saya akan rasa puas jika melihat kegembiraan mereka apabila segala keperluan raya telah disediakan, tuturnya sambil tersenyum.
Seorang lagi remaja, Rabiatul Najiha Omar, 15, ketika ditemui Kosmo! di Kluang, Johor baru-baru ini mengakui hari raya merupakan hari untuknya bersuka ria.
Maklumlah selepas sebulan menahan lapar dan dahaga kerana menunaikan ibadah puasa, maka Aidilfitri perlu dirayakan sepenuhnya.
Berkongsi pengalaman, Rabiatul atau lebih mesra disapa Ruby seronok apabila menyambut raya pada usia remaja. Jelasnya, sewaktu kecil semua persiapan seperti baju dan kasut raya akan dibeli oleh kedua ibu bapa mengikut cita rasa mereka.
Tapi kini, saya sudah boleh memilih pakaian yang digemari tanpa terikat dengan keputusan ibu bapa. Cuma, duit mestilah daripada mereka kerana saya belum bekerja.
Walaupun mengikut cita rasa sendiri, namun saya tidaklah sampai memilih barangan yang mahal. Memadai jika ia menarik dipandang, luahnya yang kelihatan anggun berkebaya putih sambil asyik memilih pakaian untuk berhari raya di sebuah butik.
RABIATUL NAJIHA membeli-belah kelengkapan hari raya bersama rakannya di sebuah butik di Kluang, Johor baru-baru ini.


Masih terima duit raya
Ditemani seorang rakan yang turut mencari persalinan untuk lebaran, Ruby tidak segan mengakui bahawa dirinya masih mendapat duit raya daripada ibu bapa dan sanak saudara yang mengunjungi mereka.
Biasanya masa kecil dapat duit raya dalam RM1 atau RM2 sahaja. Tetapi, bila dah sekolah menengah bertambah jugalah nilainya, lancar ucapan yang keluar dari bibir mungil Ruby.
Sementara itu, Noor Atikah Ismail, 15, berpendapat hari raya boleh dianggap hari kebebasan untuk semua terutama selepas sebulan menahan diri daripada lapar dan dahaga kerana menunaikan kewajipan berpuasa.
Tambahnya, agenda utama sebagai remaja sudah tentu untuk keluar bersama teman-teman dan melepaskan tekanan menghadap buku.
Menonton wayang, keluar makan dan pergi beraya di rumah kawan antara perkara wajib yang akan dilakukan setiap kali tibanya Aidilfitri.
Namun, itu semua hanya akan dibuat selepas meraikan hari raya bersama keluarga tercinta pada 1 Syawal, beritahu Atikah yang merupakan anak bongsu daripada sembilan adik-beradik yang semuanya perempuan.
Ditanya juadah kegemaran pada pagi raya, Atikah pantas menjawab: Sudah tentu ayam masak sambal air tangan ibu tercinta selain rendang dan ketupat.
Apa pun makna Aidilfitri yang lahir daripada pemahaman remaja ini, hakikatnya dalam Islam, ia merupakan hari kemenangan yang dinantikan oleh semua umatnya selepas berjaya melaksanakan ibadah puasa selama sebulan pada bulan Ramadan.
Di Malaysia, apabila tibanya Aidilfitri terdapat beberapa amalan atau tradisi yang lazim dilakukan sempena meraikan hari bahagia itu.
Contohnya seperti tradisi balik kampung, menziarahi pusara ahli keluarga yang telah meninggal dunia, mengunjungi sanak-saudara dan bermaaf-maafan antara satu sama lain, mengadakan rumah terbuka serta amalan memberi duit raya kepada kanak-kanak.
Namun, hakikatnya di sebalik perayaan Aidilfitri, ia mengandungi makna yang jauh lebih mendalam berbanding daripada apa yang kita lihat dari sudut zahir yang perlu direnungi bersama.
kredit : kosmo.com.my

No comments:

Post a Comment