Sunday 28 August 2011

New Jersey dibadai taufan

Imej satelit menunjukkan Taufan Irene selepas ia membadai pesisir pantai Amerika Syarikat di sebelah Lautan Atlantik kelmarin.
TOMS RIVER, Amerika Syarikat (AS) – Lebih sejuta orang melarikan diri dari bandar-bandar peranginan di sepanjang pantai New Jersey beberapa jam sebelum Taufan Irene melanda negeri berkenaan kelmarin.
Orang ramai yang tinggal di pesisir pantai dan pulau termasuk lokasi terkenal seperti Atlantic City, Cap May serta Pulau Long Beach diwajibkan berpindah. Taufan Irene dijangka melanda negeri itu dengan kelajuan angin mencapai 120 kilometer (km) sejam.
Taufan berkenaan turut membawa hujan 15 sentimeter (sm) hingga 30 sm sejak malam kelmarin. Sebelum ini, sebanyak empat kematian dilaporkan berlaku di negeri Carolina Utara dan Virginia yang turut dilanda taufan tersebut.
“Lebih sejuta orang telah meninggalkan kawasan pantai di New Jersey dalam tempoh 24 jam yang lalu. “Cara terbaik untuk mengelakkan kemalangan jiwa adalah tiada siapa yang boleh tinggal di kediaman mereka,” kata Gabenor Chris Christie dalam satu sidang media.
Sebelum itu, bandar raya New York lumpuh dibadai Taufan Irene dengan bekalan elektrik kepada 2 juta kediaman dan premis perniagaan terputus. Setakat ini, sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh akibat bencana alam itu di AS. - Agensi

No comments:

Post a Comment